Cuba kita renungi baris-baris akhir sebuah sajak yang cukup terkenal yang berbunyi;
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa
Segalanya dimulakan oleh seorang guru
Biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca
Sajak ini tentunya sudah biasa kita baca malah sering dideklamasikan setiap kali Sambutan Hari Guru diadakan pada 16 Mei setiap tahun. Sajak yang dihasilkan oleh Allahyarham Datuk Usman Awang, pasti membuatkan setiap insan yang bergelar guru terasa dihargai. Namun apakah perasaan guru apabila membaca baris-baris terakhir sajak yang diambil daripada artikel “ Pejuang dan Pengisi Kemerdekaan” yang ditulis oleh Mohd Yusri Ibrahim ( Majalah Ehwal Pendidikan, Ogos 2007) yang berbunyi;
Jika hari ini siapa saja perosak bangsa;
Bermula dengan kegagalan guru kita
Cuai mengasuh generasi muda
Penulis yakin sajak ini bisa menguris hati seorang guru. Kalaupun tidak terpalit luka mungkin wujud juga sedikit rasa tersinggung mahupun kecewa lantaran dikatakan gurulah menjadi punca kepada kemunculan perosak bangsa. Namun itulah realitinya kehidupan hari ini. Kalau dulu guru merupakan individu atau kumpulan kecil masyarakat yang amat dihormati, situasi kini jauh berbeza. Kalau dulu, ramai yang mengakui bahawa ‘dewasanya seseorang itu adalah dimulakan oleh seorang guru biasa’, namun kini masyarakat lebih mudah menyalahkan para guru apabila hasil didikan tidak ‘menjadi’.
Dr Novandri Hasan Basri dalam tulisannya “Buli Dan Masalah Sosial Pelajar : Satu Penyelesaian” menyatakan bahawa dahulu masyarakat memandang tinggi terhadap guru-guru sekolah. Guru-guru ketika itu dianggap sangat istimewa kerana mereka mempunyai ilmu yang tidak dimiliki oleh orang lain. Ketika itu, ilmu pelajaran adalah hak eksklusif guru-guru. Segala teknik pengajaran, buah fikiran guru-guru ataupun cara mereka menghukum pelajar-pelajar diterima baik oleh ibubapa. Mereka percaya bahawa guru-guru melakukannya supaya anak-anak mereka akan menjadi lebih pandai. Secara tidak langsung, pengiktirafan tinggi masyarakat ini akan menyebabkan mereka menjadi lebih bersemangat dan bangga menjadi seorang guru.
Yusri Abdul Malek dalam artikelnya “Displin Pelajar Bermula di Rumah” pula menegaskan pula bahawa pada zaman dulu guru dihormati dan rotan ialah senjata utama mendisiplin pelajar tetapi kini semua itu tidak dianggap relevan lagi. Tegas beliau, kebanyakan ibu bapa yang berkerjaya dan bergaji besar serta berasal dari kampung bagaikan lupa peranan guru yang membantu kejayaan mereka hanya kerana anak mereka dirotan kerana kesalahan disiplin. Sebaliknya, mereka bertindak datang ke sekolah dan menyalahkan guru yang terbabit merotan anaknya. Hal ini sedang berlaku dalam sistem pendidikan kita.Terlalu banyak campur tangan dan akhirnya guru tiada kebebasan untuk bertindak menyebabkan masalah disiplin tiada noktah. (Harian Metro, 25 Mei 2006)
Penerangan lebih lanjut sila layari laman web dibawah
No comments:
Post a Comment