Friday, 27 July 2012

Pengenalan Masalah Disiplin



Di Malaysia, pembangunan modal insan diberi penekanan. Ini dapat dibuktikan di dalam  Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960, yang menjadi Akta Pelajaran 1961, Jawatankuasa Kabinet 1979, dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan 1988, dimana “ Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembang lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilkan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”.

Pembangunan modal insan berminda kelas pertama merupakan misi nasional yang digerakkan untuk mencapai Wawasan 2020. Modal insan merujuk kepada usaha berterusan secara holistik melalui penekanan terhadap penguasaan ilmu pengentahuan, modal intelektual serta pengamalan nilai etika dan moral yang tinggi seperti yang ditermaktub dalam Pelan Integreti Nasional(PIN).

“ Dalam usaha membangunkan modal insan, KPM akan memberi tumpuan kepada sistem nilai, aspek disiplin, sahsiah, akhlak dan jati diri pelajar. KPM akan menyediakan sistem pentaksiran dan penilaian holistik, membina disiplin pelajar serta memberi penekanan kepada kebersihan, kesihatan dan keselamatan.” (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2006: 32)

Namun, mengikut rekod kementerian 111,484 pelajar atau 72,557 pelajar sekolah menengah dan 38,927 murid sekolah rendah dikesan terbabit pelbagai salah laku disiplin pada 2010. Katanya, antara kes salah laku disiplin yang sering dilakukan pelajar terbabit termasuk jenayah (17,595 kes), ponteng sekolah (19,545 kes), berlaku kurang sopan (18,346 kes), kekemasan diri (21,384 kes), tidak mementingkan masa (17,808 kes), kelucahan (3,031 kes), vendalisme (5,212 kes) dan kenakalan (8,563 kes). Masalah disiplin dipandang sebagai satu masalah yang serius dalam bidang pendidikan kerana masalah disiplin ini menjadi penyebab utama pembabitan seseorang pelajar dalam pelbagai kegiatan berunsur negative seperti penagihan dadah, minuman keras, samseng, seks bebas, buli dan judi. (sumber: Berita Harian Online: 28 Disember 2010).

Namun sejauh manakah kita memberi perhatian dan mengambil berat isu ini samada sebagai seorang guru, pelajar, ibu bapa dan masyarakat?. Dari situ kita dapat timbulkan satu persoalan, mengapa isu disiplin ini sering diutarakan dan kenapa masalah disiplin ini masih lagi berleluasa dari semasa ke semasa? Setakat mana isu masalah disiplin ini, bertepatan dengan matlamat Falsafah pendidikan kebangsaan dalam melahirkan insan yang berakhlak mulia?

Berdasarkan permasalahan ini, kami ingin mengupas dengan lebih mendalam mengenai masalah disiplin yang amat ketara di Negara ini iaitu berkaitan masalah ponteng sekolah,sahsiah pelajar:dulu dan kini, dan rotan.

No comments:

Post a Comment