Rencana
Krisis disiplin di kalangan penuntut sekolah-Dewan
Masyarakat April 1975 oleh Malek Murad
SAUDARA Malek Murad dalam rencananya ‘Krisis disiplin di
kalangan penuntut sekolah’ Dewan Masyarakat April 1975, antara lain menyentuh
tentang pentingnya sekolah mengenakan hukuman berat terhadap pelajar yang
melakukan kesalahan di sekolah jika sekolah mahu mengekalkan peranan
tradisionalnya sebagai tempat menimba ilmu pengetahuan.
Rencana itu sudah lama ditulis, tetapi gaya dan
permasalahan yang dibangkitkan masih sama dengan apa yang masih diperkatakan
sampai sekarang.
Ini bermakna masalah disiplin dan moral anak-anak muda
bukan baru, cuma pendekatannya berbeza. Memang anak-anak muda zaman dulu tidak
merempit, tidak melawan guru atau tidak memecahkan harta benda awam, tetapi kes
lain seperti pergaduhan, mencuri, mencederakan rakan telah berlaku dan masih
dalam ruang lingkup sama iaitu salah laku membabitkan pihak tersebut.
Krisis nilai di kalangan anak-anak muda kini membimbangkan pelbagai pihak.
Bukan saja ibu bapa yang pening memikirkan anak- anak mereka terutamanya ketika
di luar rumah, masyarakat sekeliling turut bimbang dengan pelbagai keadaan yang
berlaku membabitkan remaja.
Boleh dikatakan saban hari kita disogokkan dengan berita atau cerita membabitkan
kanak-kanak mahupun golongan remaja dan kebanyakannya masih di bangku sekolah.
Kita tidak hairan jika berita atau cerita tersebut mengenai kejayaan mereka
dalam sesuatu bidang, tetapi agak malang jika kita didedahkan dengan berita
penangkapan mereka atas sesuatu kesalahan yang mereka lakukan.
Paparan media massa mengenai segala jenis salah laku termasuk jenayah memang
cepat mempengaruhi kanak-kanak. Sejak kecil lagi mereka sudah dipengaruhi
norma-norma hidup yang mengelirukan dalam menjalani kehidupan harian dan
menempuh masa depan.
Segala kemelut ini mesti diberi perhatian malah diatasi dengan penekanan nilai
murni melalui subjek dan aktiviti luar bilik darjah yang membentuk jiwa mereka
supaya menjadi masyarakat yang mampu bertahan dengan segala macam cabaran di
luar kelak.
Di sekolah, antara subjek yang mengandungi penekanan nilai murni termasuk
Kesusasteraan, Bahasa, Pendidikan Moral dan Agama. Subjek ini dirasakan sudah
cukup membimbing pelajar ke arah kemantapan jiwa dan sahsiah.
Bagi pelajar sekolah menengah, pengenalan Komponen Sastera (Komsas) sejak tahun
2000 menambahkan lagi khazanah atau pendedahan nilai murni di kalangan pelajar
sejak mereka di tingkatan satu lagi. Hasil sastera baik prosa moden dan
tradisional, puisi, novel dan drama menyelitkan pelbagai nilai murni yang boleh
digarap pelajar.
Keberkesanan Komsas bukan hanya untuk melatih pelajar menjadi penulis, tetapi
memantapkan pemahaman dan kepatuhan mereka terhadap nilai murni yang disogokkan
kepada mereka lewat karya sastera kemudian diterjemah dalam kehidupan seharian.
Pelbagai aktiviti luar bilik darjah seperti persatuan, unit pakaian seragam dan
sukan juga tidak kurang penting memainkan peranan membentuk pelajar menjadi
insan mengamalkan nilai kerjasama, bantu-membantu, tabah, sabar dan rajin dalam
menjalankan sesuatu tugas yang diamanahkan.
Pihak sekolah mesti memastikan setiap aktiviti ini dilibatkan pelajar dan
bentuk tindakan yang mendidik perlu dikenakan jika ada pelajar enggan memberi
kerjasama atau memperlekeh usaha untuk mengisi masa mereka dengan perkara
berfaedah.
Sekolah mesti mengambil kira jalinan hubungan dengan ibu bapa sekiranya ada
pelajar memandang rendah kepada setiap peraturan yang ditetapkan di sekolah.
Sekolah tidak boleh berlembut dengan ibu bapa yang selalu menyebelahi anak
mereka walaupun anak ternyata melanggar peraturan sekolah.
Jika sekolah berlembut, sampai bila segala peraturan di sekolah tidak akan
dipandang tinggi oleh pelbagai pihak yang mahu mengukuhkan imej institusi
pendidikan sebagai tempat untuk menimba ilmu dan membina sahsiah pelajar.
Jadi, apabila akhir-akhir ini kita kerap didedahkan dengan pelbagai salah laku
di kalangan remaja seperti kes buang bayi, dadah, pergaduhan dan sebagainya
kita tidak perlu menyalahkan sistem pendidikan sedia ada di negara kita.
Kita pernah mendengar berita mengenai pelajar menyamun di sebuah kedai
serbaneka menggunakan pistol mainan dan parang panjang, kita pernah mendengar
kisah pelajar mencederakan guru, merosakkan kereta guru dan sebagainya yang memperlihatkan
bahawa jenayah dan salah laku bukan hanya dilakukan orang dewasa, malah
golongan yang sedang menimba ilmu pengetahuan.
Sebenarnya, pemahaman dan pembabitan pelajar dalam aktiviti yang ditetapkan di
sekolah sudah cukup menjadi benteng untuk menghalang mereka daripada melakukan
pelbagai salah laku.
Persoalannya, mengapa ada antara mereka yang masih tergamak melakukan pelbagai
salah laku termasuk melawan guru, merosakkan harta benda sekolah, terbabit
dadah dan jenayah lain?
Sikap sesetengah pelajar yang mempunyai kefahaman cetek atau memandang ringan
terhadap aktiviti luar bilik darjah menjadikan mereka liar dan tidak memahami
apa tujuan setiap aktiviti yang dijalankan.
Kedangkalan mereka tentang pelbagai nilai yang terkandung dan terselindung di
sebalik kebanyakan subjek di sekolah menjadikan mereka lepas tangan atau tidak
mengambil kisah tujuan sebenar setiap subjek yang mereka pelajari.
Ironinya, boleh kita fikirkan sendiri bahawa setiap pelajar itu, jika kita kira
sejak bersekolah di peringkat sekolah rendah hingga tamat persekolahan di
peringkat menengah, mungkin hampir seratus guru mengajar mereka.
Jika difikirkan lagi, mana ada guru yang menyuruh anak muridnya mencuri,
merompak, menipu orang, tetapi setiap guru memberi ajaran positif ke arah
kecemerlangan individu dalam mendepani hari muka.
Oleh itu, kebejatan sosial kini perlu dilihat sebagai ancaman yang boleh
menjejaskan pelbagai aspek hidup. Selain ibu bapa dan masyarakat sekeliling,
sekolah mesti melihat masalah ini sebagai masalah yang perlu diberi perhatian
lebih serius, termasuk berusaha memperkemas sistem pendidikan ke arah
melahirkan insan lebih bijak menilai mana kaca dan permata.
Sejak tahun 70-an lagi kita sudah menyedari sistem pendidikan kita condong ke
arah kecemerlangan akademik. Ia dikatakan menjadi salah satu penghalang
membentuk sahsiah pelajar. Kita agak ketinggalan kerana sampai kini kita masih
melaung-laungkan perkara sama sedangkan sudah lebih 30 tahun perkara ini
diungkit.
Sampai masanya kita mengubah sistem dan persepsi tersebut supaya kita dapat
mengurangkan pelbagai masalah yang mengitari hidup pelajar di negara kita.
Rotan kaedah terbaik tangani disiplin pelajar
Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my
CADANGAN Kementerian Pelajaran melaksanakan semula hukuman
rotan yang dihentikan pada 2006 dengan menggantikan kaedah kaunseling perlu
dilakukan secara berhemah, termasuk berbincang dengan ibu bapa.Yang Dipertua Persidangan Kebangsaan Pengetua Sekolah Menengah Malaysia, Azam Mat Atan, berkata pelaksanaan semula hukuman itu selepas sesi kaunseling gagal dilihat paling berkesan bagi mendisiplinkan pelajar terutama peringkat menengah.
Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaannya perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk terlebih dulu memberi amaran pertama, kedua dan ketiga kepada pelajar terbabit sebelum memanggil ibu bapa.
“Kami di sekolah hanya akan melaksanakan hukuman rotan jika keadaan semakin kritikal dan disiplin pelajar membimbangkan.
“Setiap hukuman dilaksanakan mereka berkelayakan. Ia dilakukan guru disiplin dengan disaksikan ahli jawatankuasa disiplin sekolah. Setiap hukuman akan direkodkan,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau mengulas laporan akhbar ini baru-baru ini yang memetik Kementerian Pelajaran mengemukakan cadangan kepada Jabatan Peguam Negara untuk mengembalikan semula hukuman rotan sebagai tindakan akhir selepas sesi kaunseling gagal memulihkan disiplin pelajar.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pemuafakatan Persatuan Persatuan Guru Malaysia, Jemale Paiman, berkata pihaknya yakin hukuman dilaksanakan sejak sekian lama itu kaedah terbaik menangani masalah disiplin pelajar.
“Saya yakin ibu bapa bersedia bekerjasama jika mereka dipanggil berbincang mengenai masalah disiplin anak mereka.
“Perbincangan dua pihak ini penting supaya menemui jalan penyelesaian terbaik, seterusnya sekolah tidak perlu melaksanakan hukuman rotan,” katanya.
Sambil menjelaskan pihaknya sudah memaklumkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru mengenai cadangan kementerian itu, beliau berkata, mana-mana pihak yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenainya boleh merujuk persatuan berkenaan di sekolah anak masing-masing.
Mengenai pelaksanaannya pula, Jemale berkata, hukuman itu perlu dilaksanakan dengan berhemah termasuk memanggil saksi, manakala guru diarah melaksanakannya mestilah berwibawa.
Katanya, bagi mengelakkan sebarang kesulitan, guru bertugas perlu merujuk pekeliling Kementerian Pelajaran berhubung perkara berkenaan bagi memastikan tindakan dibuat berdasarkan prosedur ditetapkan.
Berita Harian Online: 28 Ogos 2009
Rotan = Disiplin?
Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my
ISU hukuman
rotan di sekolah kembali menarik perhatian apabila ia dikatakan langkah terbaik
mendisiplinkan pelajar bermasalah dan suka melanggar peraturan.
Walaupun dulu
ramai anggota masyarakat yang tidak menyokong hukuman ini dan lebih memilih
sesi kaunseling, kini masyarakat merasakan ia jalan penyelesaian terbaik.
Jika mengimbau
persekolahan zaman 60-an dan 70-an, jika guru merotan pelajar yang melakukan
kesalahan, ia perkara biasa dan mendapat sokongan ibu bapa.
Murid atau
pelajar sedar jika dirotan, ia adalah kerana kesalahan sendiri dan mereka tidak
berani mengadu kepada ibu bapa kerana aduan itu tidak dilayan, sebaliknya
mereka mungkin dirotan lagi.
Memang sakit
apabila dirotan, tetapi kebanyakan pelajar yang pernah menerima hukuman itu,
kini menjadi manusia berguna, memegang jawatan tinggi dan disegani masyarakat.
Malah, ada
pelajar yang pernah dirotan berterima kasih kepada guru kerana mengambil
tindakan berkenaan.
Tetapi, suasana
kini berbeza kerana hukuman merotan dianggap ketinggalan zaman dan guru yang
melakukan perbuatan itu mungkin menerima 'hukuman' ibu bapa.
Ada ibu bapa
mengambil tindakan undang-undang, membuat laporan polis atau memukul guru yang
merotan anak mereka.
Disebabkan takut
dikenakan tindakan undang-undang, rotan hanya disimpan dalam laci meja dan
akibatnya, pelajar semakin liar dan tidak terkawal.
Saban hari, ada
saja kes membabitkan disiplin pelajar dilaporkan malah polis terpaksa campur
tangan.
Rentetan
daripada perkembangan itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi
meminta Pejabat Peguam Negara membuat keputusan segera berhubung pelaksanaan
hukuman merotan pelajar sekolah.
Beliau
berpendapat sudah sampai masanya satu tindakan drastik dilakukan bagi menangani
masalah disiplin pelajar sekolah.
"Peraturan
sekarang yang melarang guru menyentuh pelajar menjadi kekangan utama
melaksanakan hukuman rotan bagi mendisiplinkan pelajar.
"Justeru,
bagi mengelak ibu bapa menggunakan saluran undang-undang terhadap guru yang
merotan anak mereka, keputusan itu sangat diperlukan," katanya.
Katanya, pelajar
tidak dihukum tanpa sebab dan ibu bapa perlu memahami guru merotan anak mereka
bertujuan membendung mereka mengulangi kesalahan.
Dari segi kuasa
merotan, hanya pengetua dan guru besar boleh melakukan, tetapi mereka boleh
menurunkan kuasa itu kepada guru lain.
Bagaimanapun,
hukuman rotan hanya boleh dilakukan selepas amaran bertulis dikeluarkan kepada
pelajar.
Hukuman itu
tidak boleh dilakukan di tempat terbuka, kesalahannya itu mesti direkodkan dan
ada saksi ketika hukuman merotan.
Hakikatnya,
boleh atau tidak hukuman merotan ini?
ARKIB : 16/10/2004
`Guru tak pandai mengajar' -- Antara punca ponteng sekolah semakin berleluasa di kalangan pelajar
KUALA LUMPUR 15 Okt. - Guru yang dikatakan `tidak pandai mengajar'
menjadi antara punca masalah ponteng sekolah semakin berleluasa di
kalangan pelajar.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Mahadzir Md. Khir berkata,
segelintir guru yang tidak kreatif dalam pengajaran sehingga menyebabkan
sesi pengajaran membosankan, akan mendorong pelajar ponteng kelas.
Malah, menurutnya, tiada aktiviti yang menyeronokkan serta berfaedah
yang boleh diisi terutamanya selepas musim peperiksaan turut mendorong
ke arah perbuatan terbabit.
``Selain itu, subjek yang diajar tiada kaitan dengan keperluan mereka
dan tidak minat belajar juga sering dikaitkan berlakunya gejala
ponteng,'' katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai masalah ponteng sekolah yang
didedahkan oleh Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Mohamed
Che Hamid, terus serius apabila ada sebuah sekolah menengah di Felda di
negeri itu mencatatkan hanya 50 peratus pelajar sahaja yang ke kelas
terutamanya pada hari Ahad dan Khamis.
Menurut Mahadzir, bagi isu di Terengganu ini, Kementerian Pelajaran
telah mengarahkan Jabatan Pelajaran Negeri menyiapkan laporan yang
konstruktif, punca berlakunya masalah ponteng di sekolah-sekolah secepat
mungkin.
Laporan lengkap ini penting untuk mengenal pasti kategori ponteng
yang berlaku di sekolah tersebut termasuklah ponteng sekolah (keluar
rumah dengan memakai pakaian seragam tetapi tidak ke sekolah), ponteng
kelas (ke sekolah tetapi pada masa pengajaran subjek-subjek tertentu),
ponteng akibat bangun lewat atau tidak menyiapkan kerja rumah.
``Kementerian juga telah meminta supaya laporan tersebut disertai
dengan langkah yang telah dan akan diambil oleh Jabatan Pelajaran Negeri
bagi menangani masalah itu sebelum tindakan susulan diambil,''
jelasnya.
Menurutnya, isu ponteng kini berada pada tahap yang kritikal dan
dianggap sebagai langkah pertama remaja memasuki dunia penuh masalah.
``Laporan menyeluruh perlu dibuat terutamanya untuk mengenal pasti
punca sebenar masalah ponteng itu bukan sahaja yang berlaku di
Terengganu malah di seluruh negara dan seterusnya dicari jalan
penyelesaian,'' katanya.
Tambah beliau, dalam kes ini, Pengarah Pelajaran Negeri perlu
memanggil dan berbincang dengan guru besar sekolah yang terbabit dan
mencari punca sebenar berlaku perkara tersebut.
``Setelah itu, pihaknya boleh mengemukakan langkah-langkah yang perlu
diambil tanpa perlu merujuk kepada kementerian bagi menyelesaikan
masalah tersebut,'' katanya.
Mahadzir juga memberitahu, pihak pengurusan sekolah perlu berusaha
untuk memastikan sekolah menjadi tempat yang seronok kepada para pelajar
mereka bagi menangani masalah ini.
Selain itu, hubungan mesra antara guru dengan murid, kemudahan untuk
menyokong kehadiran mereka ke sekolah serta keprihatinan ibu bapa dan
masyarakat dijangka dapat menyelesaikan isu tersebut.
No comments:
Post a Comment