SAHSIAH PELAJAR


Sahsiah pelajar, dulu dan kini….

Sahsiah merupakan perkataan Arab yang membawa definisi keperibadian atau peribadi (Kamus Dewan, 2011).  Peribadi pula bererti manusia sebagai diri sendiri, sifat-sifat (kelakuan, sikap) seseorang individu yang sudah sebati dengan diri sendiri bagi membentuk watak dirinya sendiri. Maka, kenyataan ini dapat menggambarkan bahawa seorang individu itu berbeza dengan individu yang lain.  Sahsiah juga dapat menjelaskan sistem tingkah laku seseorang iaitu  bolehlah dikatakan bahawa perlakuan atau tingkah laku itu dapat dilihat sebagai lebih kurang sama dari sehari ke sehari dan telah tertanam sejak dari kecil dan menjadi rutin.  Maka untuk mengubahnya mengambil masa dan memerlukan pendekatan yang sangat efisien. Ibarat menarik rambut di dalam tepung.  Rambutnya tidak putus dan tepungnya tidak berselerak.
         Menurut perspektif Islam, sahsiah juga membawa maksud akhlak.  Seperti yang kita sedia maklum,  akhlak yang digariskan oleh Al-Quran terbahagi kepada dua iaitu sifat mahmudah dan  sifat mazmumah. Rasulullah SAW telah diutuskan oleh Allah SWT bagi menyempurnakan akhlak yang terpuji iaitu akhlak yang berlandaskan Al-Quran. Diriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang bermaksud “ agama itu ialah kemuliaan budi pekerti”.  Islam bermatlamatkan akhlak yang mulia dan terpuji.  Maka perbincangan mengenai akhlak tidak dapat lari daripada sifat mahmudah iaitu sifat yang terpuji dan sifat mazmumah yang membawa maksud sifat tercela.
      Apabila kita membincangkan sahsiah pelajar dulu dan kini memang terlalu banyak perbezaan ketara yang dapat kita lihat. Saya amat tertarik untuk membincangkan kepincangan sahsiah anak remaja di dalam institusi pendidikan.  Isu yang dapat dibincangkan adalah sikap hormat-menghormati terhadap guru, rakan-rakan dan pembudayaan ilmu itu sendiri.  Antara perkara yang sangat jelas adalah amalan bertegur sapa dan menghadiahkan senyuman tidak lagi menunjangi sahsiah anak remaja.  Contohnya apabila guru masuk ke dalam kelas untuk memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran, terlalu sukar untuk melihat anak remaja mengucap salam kepada guru-guru.  Hal ini amat ketara jika dilihat di sekolah menengah.  Kehadiran guru dewasa ini kurang dihargai walaupun pada hakikatnya guru adalah sebagai ibu bapa yang kedua setelah ibu bapa mereka yang sebenar. 
Anak-anak remaja semakin lupa bahawa guru adalah insan yang memberi sumbangan besar dalam membentuk kejayaan diri mereka untuk masa hadapan.  Guru adalah insan yang bertanggungjawab mencorak dan mencungkil bakat yang ada dalam diri setiap generasi masa hadapan ini.   Anak-anak ini perlu menghayati semula sajak yang sangat memberi makna betapa besarnya pengorbanan dan jasa seorang guru iaitu:

SAJAK : GURU OH GURU
Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi.
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang bertauliah segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
 Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke kahir hayat (USMAN AWANG,1979)

 Jika sajak di atas dihayati dan dijiwai dengan sebaik mungkin saya amat yakin anak-anak remaja akan tersentuh hati mereka dan akan lahirlah anak remaja yang sangat menghormati dan menyayangi para pendidik mereka.  Secara langsung proses pembudayaan ilmu juga akan berlaku dengan lancar dan mantap kerana dengan menghormati guru maka ilmu yang bakal diperoleh akan bertambah berkat dan dapat menyerap ke dalam sanubari anak-anak remaja.  Pada hari ini anak-anak ke sekolah dan menimba ilmu hanya untuk lulus peperiksaan.  Apabila kaki melangkah keluar dari kawasan sekolah, anak-anak ini seperti manusia yang tiada pedoman hidup.  Maka dapatlah dilihat berlakunya pelbagai gejala sosial yang berlaku.  Jika dahulu masalah yang paling teruk adalah gangsterisme, penyalahgunaan dadah dan vandalisme tetapi hari ini masalah seperti membakar rakan hidup-hidup dan anak luar nikah seperti perkara lumrah yang dipandang enteng oleh segenap lapisan masyarakat.
Situasi ini sangat berbeza dengan konsep pembelajaran pada zaman dahulu, segala nilai murni yang dipelajari di sekolah diamalkan dalam kehidupan sehari-hari.  Produk pendidikan zaman dahulu berupaya membangunkan negara dan berjaya membawa kebanggaan dengan Malaysia.  Sebagai contoh Datuk Nicol Ann David, selain cemerlang dalam skuasy, Nicol juga membuktikan kehebatannya di persada akademik. Bekas pelajar Sekolah Rendah Convent Green Lane dan Sekolah Menengah Convent Green Lane, Pulau Pinang itu memperoleh 7A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).  Pada usia 16 tahun, Nicol sudahpun menduduki senarai 10 pemain terbaik dunia.  Selain itu menduduki takhta ranking No. 1 dunia selama hampir 6 tahun berturut-turut (2006 – kini). Dalam sejarah squash wanita dunia, Nicol David kini pemain kedua paling lama menguasai ranking itu. Juga pemain Asia pertama dalam sejarah untuk menduduki ranking tersebut.
Maka jelaslah di sini, sahsiah generasi Z pada hari ini memerlukan rawatan yang sangat efektif dan mantap supaya tidak hanyut dengan kemajuan dan godaan yang disediakan oleh era globalisasi ini.  Anak remaja Malaysia perlu berbalik kepada budaya timur supaya menjadi generasi yang mampu dibanggakan dan meletakkan Malaysia gah di mata dunia. Kita juga perlu yakin bahawa konsep hukuman sangat efektif untuk membentuk anak-anak remaja ini.  Ibu bapa jangan cepat melatah dan jangan mudah melenting sekiranya anak-anak mereka dihukum apabila berada di sekolah.  Hukuman yang diberi untuk mendidik mereka supaya mereka jelas natara perkara yang baik ataupun buruk dan menegaskan kepada anak-anak bahawa sebagai anak mereka perlu ditegur untuk kabaikan bersama.  Sahsiah dan pegangan hidup yang mantap perlu menunjangi hati dan sanubari setiap individu kerana hati yang diselaputi ilmu yang berguna dan sifat-sifat mahmudah akan memandu perlajanan seorang insan ke arah kebaikan.

Untuk bacaan tambahan sila klik:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_Memantapkansahsiahpelajar/Article/index_html
http://bmssbj.blogspot.com/2012/07/faktor-faktor-yang-mendorong.html
http://leemersing.blogspot.com/2011/04/guru-sebagai-agen-pembentukan-akhlak.html
http://www.slideshare.net/Bazrol/cabaran-seorang-guru-masa-kini
http://www.ipislam.edu.my/uploaded/Peranan Guru Membina Murid Menghadapi Cabaran Wawasan 2020- Kertas Konsep.pdf
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sebatsyariedidikpelajar/Article/index_html
http://eprints.utm.my/10490/1/TAHAP_DISIPLIN_PELAJAR_SEKOLAH_MASA_KINI.pdf


1 comment: